Monday, August 31, 2009

.Independence Day.

taken from malaysiaharmoni.com,

Adakah kita generasi merdeka?

merdeka
Setiap tahun tanggal 31 Ogos akan dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Tahun ini rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-52. Pada dasarnya tempoh 52 tahun merupakan jangka masa yang sudah memadai untuk mematangkan setiap warga yang merdeka. Pastinya Hari Kebangsaan juga merupakan sesuatu yang sangat bermakna dan bernilai untuk golongan muda walaupun tidak terlibat secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan oleh nenek moyang kita dahulu.

Kemerdekaan bermaksud kebebasan dan kemampuan melakukan sesuatu tanpa sekatan atau halangan atau kongkongan belenggu oleh sesuatu (sila lihat Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka).
Mungkinkah tokoh kemerdekaan seperti almarhum Dr Burhanuddin al-Hilmi, Mat Kilau, Datuk Onn Jaafar dan ramai lagi dikenali dan dapat dijadikan contoh oleh generasi muda sebagai pejuang tanah air dan pada masa yang sama berjaya mencurah bakti kepada tanah air?
Setiap perjuangan menuntut kemerdekaan memerlukan kegigihan dan pengorbanan yang amat besar. Banyak sekali pengorbanan yang dicurahkan oleh ramai insan demi kemerdekaan. Air mata, darah, keringat, tenaga, wang ringgit, harta benda dan nyawa dikorbankan tanpa mengharapkan balasan melainkan kebebasan.
Namun, sejauh manakah generasi hari ini menghargai perjuangan nenek moyang kita membebaskan tanah air dari belenggu bangsa asing sehingga Malaysia akhirnya dimerdekakan pada 31 Ogos 1957? Setelah 52 tahun berlalu, apakah makna nikmat kemerdekaan itu dalam setiap tindakan generasi muda hari ini?
Hakikatnya, kemerdekaan bukanlah sesuatu yang cukup sekadar dilakarkan dalam lakaran sejarah atau diraikan tahun demi tahun tanpa penghayatan yang sebenar.
Sebagai generasi muda, remaja dan belia mesti dididik untuk menghargai nikmat kemerdekaan yang diperoleh ini. Di sini dikongsikan beberapa cadangan bagaimana golongan muda boleh menghargai kemerdekaan yang kita miliki hari ini.
Antaranya:
1. Merdekakan minda - Kemerdekaan tanah air tidak akan membawa makna yang mendalam sekiranya kita sebagai rakyat tidak memerdekakan minda kita daripada penjajahan budaya yang negatif dan merosakkan. Selaku bangsa yang berdaulat, rakyat Malaysia memiliki adab, nilai-nilai murni dan budaya tersendiri. Dengan membebaskan diri daripada belenggu jajahan budaya yang merosakkan, barulah kita menjadi generasi yang benar-benar bebas dan merdeka.
2. Bersyukur dan menghargai kemerdekaan - Bersyukur dan menghargai kemerdekaan boleh diterjemahkan oleh generasi muda melalui kesungguhan mereka menuntut ilmu dan belajar bersungguh-sungguh tidak kira di mana pun mereka berada. Hanya dengan ilmu, kita akan dipandang mulia dan mampu bersaing dalam dunia yang penuh mencabar ini.
3. Bersungguh-sungguh ke arah kemajuan - Memajukan diri dari segenap sudut setara dengan kemajuan material yang ada selepas Malaysia merdeka. Pembangunan setara yang dimaksudkan ialah pembangunan seimbang dari segenap aspek fizikal, emosi dan spiritual. Golongan muda mestilah bersungguh-sungguh memajukan diri dalam apa jua bidang yang mampu memajukan negara, bangsa dan agama. Sikap cukup dengan apa yang ada adalah sikap yang tidak akan membawa kita lebih jauh dan maju ke hadapan. Golongan muda mesti lebih bersungguh-sungguh memajukan diri, keluarga dan masyarakat.
4. Sentiasa bersedia menghadapi cabaran - Golongan muda mesti sentiasa bersiap siaga untuk mengharungi segala cabaran yang ada atau yang mendatang. Kelalaian dan keselesaan dengan perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan akan menjadikan kita bangsa yang lemah dan mundur. Sepatutnya semakin lama kita merdeka semakin kita bersedia membawa Malaysia ke puncak persada antarabangsa.
5. Sejarah turun-temurun – Sejarah dan perjuangan nenek moyang kita untuk mendapatkan kemerdekaan mestilah disampaikan dengan tepat dan berterusan daripada generasi kepada generasi akan datang. Tujuannya agar mereka menghargai serta menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh para pejuang kemerdekaan. Dengan ini mereka akan bertambah sayang pada tanah air dan bersedia mempertahankan nikmat kemerdekaan yang diperoleh.
N

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home